Monday, August 11, 2008

ASNAF ZAKAT

Anak-anak yatim mesti dibantu. Namun anak-anak yatim itu sendiri ada yang kaya dan ada yang miskin. Mungkin berlaku di mana anak yatim yang kaya tinggal di Rumah Anak Yatim. Jika begitu keadaannya apakah anak yatim sedemikian layak diberikan zakat. Pada masa yang sama, mereka yang berhak menerima zakat telah ditentukan oleh Allah s.w.t. Hal ini sebenarnya telahpun dibahas oleh ulama silam. Mereka menggariskan beberapa prinsip agihan. Antara prinsip-prinsip tersebut ialah agihan hanya untuk asnaf yang telah ditetapkan, keutamaan kepada golongan fakir dan miskin seterusnya agihan tersebut perlulah dapat memenuhi had al-kifayah. Huraian secara ringkas untuk setiap prinsip tersebut adalah seperti berikut:

Asnaf Zakat

Asnaf zakat ialah golongan yang berhak menerima zakat. Ia telah disebut oleh Allah s.w.t. di dalam an al-Quran dan Rasulullah s.a.w. melalui al-Sunnah atau al-Hadis. Daripada al-Quran antara lain adalah ayat al-Quran yang bermaksud:

“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu adalah hanya untuk orang-orang fakir dan miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan, (ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (Al-Taubah, 9: 60).

Surah ini diturunkan selepas turunnya surah al-Fath. Surah al-Fath. Ia diturunkan sempena dengan peristiwa pembukaan Makkah pada tahun kelapan Hijrah. Ini bermakna, golongan asnaf yang berhak menerima zakat berlaku selepas 20 tahun Nabi Muhammad s.a.w menjadi Rasul.

Ayat itu jelas menyebut bahawa lapan golongan yang berhak menerima zakat. Menurut jumhur, susunan asnaf bermula dengan fakir, miskin, amil, mualaf, hamba, penghutang, fi sabilillah dan ibn al-sabil. Sebaliknya al-Nasafi dan Ibn al-Athir pulak bermula dengan fi sabilillah, ibn al-sabil, hamba, penghutang, fakir, miskin, amil dan mualaf. Namun keutamaan ini bukanlah satu isu. Pelaksanaannya bergantung kepada keadaan semasa dan setempat serta melihat kepada maslahat umum.

Daripada Hadis pula antara lain berdasarkan sebuah Hadis yang dilaporkan oleh Ziyad al-Harth al-Sada’i dengan katanya bermaksud:

“Aku pernah datang kepada Rasulullah s.a.w. lalu mengangkat sumpah setia. Lalu Baginda menyebut satu Hadis yang panjang (katanya): Maka tiba-tiba datang seorang lelaki sambil berkata: Berilah aku dari harta sedekah. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya Allah tidak rela terhadap hukum yang ditentukan oleh Nabi-Nya mahupun orang yang lain dalam hal sedekah, sehingga Dia sendiri yang menentukan hukumnya. Maka Dia membahagikan sedekah (zakat) itu kepada lapan golongan. Oleh itu jika engkau termasuk dalam salah satu dari golongan itu, maka engkau akan ku beri (zakat)” (Abu Dawud, No. Hadis: 1626).

Dari Hadis ini terpamer bahawa Rasulullah s.a.w. berpegang dengan arahan Allah s.w.t. tentang lapan golongan yang berhak menerima zakat. Zakat tidak boleh diagih selain dari lapan golongan yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. ini. Dengan itu Rasulullah s.a.w. akan mengagihkan zakat kepada golongan-golongan yang memerlukan berdasarkan lapan golongan tersebut.

bersambung...

1 comment:

Siti Noriha binti Ismail said...

Assalamualaikum.
saya inginkan keterangan tentang kedudukan anak yatim. Maksudnya tentang pemberian sedekah dan zakat.