Wednesday, November 29, 2006

ZAKAT DAN CUKAI PERNIAGAAN

Mengikut Seksyen 3, Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967), cukai dikenakan ke atas pendapatan yang diperoleh di Malaysia. Mengikut Seksyen 4, ACP 1967 pula, antara pendapatan yang dikenakan cukai ialah keuntungan daripada perniagaan.

Di Malaysia, operasi perniagaan biasanya dijalankan melalui syarikat sama ada syarikat perseorangan, perkongsian, koperasi, sendirian berhad mahupun berhad. Semuanya merupakan satu entiti tersendiri dan bukannya seorang individu. Sedangkan di dalam Perlembagaan Persekutuan, bidang kuasa undang-undang Islam hanya terpakai kepada individu Islam.
[1]

Atas dasar ini, maka syarikat tidak diwajibkan zakat. Sebagai syarikat ia bukan seorang individu Islam di sisi Perlembagaan Persekutuan.
[2] Dengan kata lain, undang-undang yang sedia ada perlu dipinda dengan mewajibkan zakat ke atas syarikat yang dimiliki oleh orang-orang Islam (Aishah Bidin, 2004).

Walau bagaimana, jika itu yang bakal berlaku, maka ia akan membebankan syarikat-syarikat yang dipunyai oleh orang Islam. Hal ini kerana selain daripada zakat, syarikat juga perlu membayar cukai pendapatan. Justeru itu, Mohd. Safri Mahat (2001) mencadangkan penyelarasan cukai korporat dan zakat perniagaan melalui pemberian rebat cukai.

Hal yang hampir sama kemudiannya ditimbulkan oleh Abdul Rahim Abdul Rahman (2003). Beliau berpendapat bayaran zakat dan cukai pendapatan tersebut bukan sahaja membebankan syarikat-syarikat milik orang-orang Islam, malah ia boleh mengurangkan insentif syarikat-syarikat untuk membayar zakat.

Memandangkan masalah ini begitu rumit dan tidak mungkin boleh diselesaikan dalam tempoh terdekat, Barjoyai Bardai (2001) mencadangkan agar pihak syarikat sendiri yang membayar zakat bagi pihak pemegang saham. Pendahuluan zakat yang telah dibayar di cadang dipulangkan kepada pihak pemegang saham dalam bentuk dividen.
[3]

Namun begitu, kaedah tersebut hanya boleh dilaksanakan sekiranya syarikat memperoleh keuntungan (Aishah Bidin, 2004). Seksyen 365, Akta Syarikat 1965 memperuntukkan dividen boleh diagihkan hanya daripada hasil keuntungan syarikat sahaja.

Rebat zakat ini sebenarnya telah diberikan kepada syarikat-syarikat yang beroperasi mengikut syarak di Lembaga Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan (LOFSA). Rebat yang diberikan tertakluk kepada jumlah maksimum sebanyak 3 peratus daripada keuntungan bersih ataupun RM20,000. Ia berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2004.

Isu ini sebenarnya tidak dibiarkan tanpa sebarang tindakan oleh pihak Kerajaan. Ketika membentangkan bajet 2005, Menteri Kewangan telah mencadangkan supaya zakat ke atas pendapatan perniagaan yang dibayar oleh syarikat dibenarkan sebagai potongan bagi tujuan pengiraan cukai pendapatan sehingga 2.5 peratus daripada pendapatan agregat.
[4] Semasa membentangkan bajet 2007, ia telah diperluaskan kepada koperasi dan badan amanah.

Namun, potongan bagi tujuan pengiraan cukai pendapatan masih belum menyelesaikan isu pelarasan zakat dan cukai pendapatan. Potongan ini hanyalah merupakan perbelanjaan syarikat yang dibenarkan bagi tujuan pengiraan cukai pendapatan. Rebat zakat masih belum dipersetujui. Dengan itu, potongan yang dibenarkan ini nampaknya belum memadai bagi menarik syarikat untuk membayar zakat.

Nota Akhir
[1] Untuk keterangan secara terperinci, sila lihat Senarai 2, Jadual Sembilan, Perlembagaan Persekutuan.
[2] Terdapat beberapa syarikat yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965 tetapi Akta yang mengawal pelesenan dan operasinya menyatakan dengan jelas satu peruntukan di mana syarikat dikehendaki membayar zakat perniagaan. Antaranya Akta Bank Islam 1983 dan Akta Takaful 1984. Akta Bank Islam 1983, Seksyen 15(1)(b) menyatakan bahawa sebelum apa-apa dividen diisytiharkan hendaklah memindahkan kepada kumpulan-wang rizab daripada keuntungan bersih tiap-tiap satu, selepas peruntukan yang sepatutnya diadakan untuk zakat atau cukai.
[3] Modus operandinya adalah seperti berikut. Pertama, syarikat akan membuat taksiran zakat perniagaan seolah-olah ia adalah merupakan individu Muslim yang menjalankan perniagaan. Kedua, syarikat akan menentukan amaun dividen yang perlu dibayar setelah mengambil kira amaun zakat yang perlu dibayar. Ketiga, setiap pemegang saham akan diberi resit zakat untuk amaun pembayaran zakat mengikut perkiraan amaun pegangan saham masing-masing.
[4] Bagi mengurangkan kos operasi perniagaan, Kerajaan mencadangkan supaya zakat ke atas pendapatan perniagaan yang dibayar oleh syarikat dibenarkan sebagai potongan bagi tujuan pengiraan cukai pendapatan sehingga 2.5 peratus daripada pendapatan agregat.

2 comments:

ROZILA ABD GHONI said...

salam, mohon utk copy, utk tujuan rujukan. trma ksih.

ROZILA ABD GHONI said...

salam, mohon utk copy, utk tujuan rujukan. trma ksih.