Wednesday, October 28, 2009

HARTA WAJIB ZAKAT

Zakat adalah rukun Islam ketiga selepas syahadah dan solat. Ia berdasarkan al-Sunnah Rasulullah s.a.w sendiri. Antaranya sebagaimana yang dilaporkan ketika Rasulullah s.a.w mengutuskan Muadh b. Jabal ke Yaman. Rasulullah s.a.w telah berpesan yang bermaksud:

“Ajaklah mereka bersyahadah bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Aku adalah utusan Allah, jika mereka mentaatinya maka hendaklah engkau memberitahu mereka bahawa Allah memfardhukan ke atas mereka solat lima waktu sehari semalam. Maka jika mereka mentaatinya, hendaklah engkau memberitahu mereka bahawa Allah memfardhukan kepada mereka menunaikan zakat pada harta mereka. Harta itu diambil dari orang kaya dan diberikan kepada orang miskin di kalangan mereka” (al-Bukhari, No. 478).

Harta-harta yang diwajibkan zakat sebenarnya sering menjadi perbahasan dalam kalangan fuqaha. Muhammad Abdul Mun’im Al-Jammal (2000) misalnya memetik keluhan bekas Syeikh al-Azhar, Syeikh Mahmud Syaltut yang antara lain menyebut:

“Betapa sedih dan pilunya hati apabila sahaja kita dapati bahawa jurang perbezaan antara para pemerintah dan fuqaha dalam melaksanakan kewajipan zakat ini begitu luas sekali seperti yang kita dapati dalam kitab-kitab fiqh dan juga kitab-kitab tentang hukum agama. Sebagai contohnya fuqaha ini mengenakan zakat atas hasil pertanian yang diusahakan oleh manusia dan fuqaha yang lain pula enggan mengenakan zakat kecuali ke atas beberapa jenis hasil pertanian yang tertentu sahaja. Fuqaha ini mengenakan zakat ke atas semua barangan perniagaan dan yang lain pula enggan mengenakannya. Kewajipan zakat ini perlulah didedahkan kepada kaum Muslimin supaya mereka menganggap bahawa kewajipan menunaikan zakat itu sama dengan kewajipan menunaikan solat”.

Hal ini berlaku disebabkan perkataan harta yang disebut di dalam al-Qur’an itu sendiri. Antaranya seperti firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Ambillah (sebahagian) dari harta (amwal) mereka menjadi sedekah (zakat), (supaya dengannya) engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doa mu itu menjadi ketenteraman bagi mereka dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui” (al-Taubah, 9: 103).

Perkataan harta ialah terjemahan daripada perkataan Arab iaitu amwal. Perkataan amwal boleh juga diterjemahkan sebagai kekayaaan (wealth). Dalam ayat yang lain, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

“Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya) dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan” (al-Baqarah, 2: 265).

Harta yang diwajibkan zakat di dalam al-Qur’an disebut dalam bentuk umum. Tetapi harta itu turut disebut khusus. Rasulullah s.a.w kemudian menjelaskannya melalui al-Sunnah (Yusuf al-Qaradawi, 1999). Para fuqaha seterusnya telah membahagikankan harta-harta wajib zakat kepada lima kategori. Pertama, al-’ayn iaitu emas dan perak; kedua, al-tijarah iaitu perniagaan; ketiga, al-harth iaitu pertanian; keempat, al-mashiyyah iaitu ternakan; dan kelima, al-rikaz iaitu hasil bumi (Wahbah al-Zuhaili, 1994).

Harta yang wajib zakat boleh juga kepada dua kategori iaitu harta zahir dan harta batin. Harta zahir ialah harta yang tidak dapat disembunyikan untuk mengelakkan daripada dikenakan zakat seperti hasil pertanian, binatang ternakan dan sebagainya. Harta batin ialah harta yang dapat disembunyikan untuk mengelakkan daripada dikenakan zakat seperti emas, perak dan barangan perniagaan. Perakaunan zakat ke atas setiap kategori harta tersebut turut telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w.

Harta-harta wajib zakat ini sebenarnya tidaklah rigid. Misalnya zakat ke atas ternakan kuda. Semasa Rasulullah s.a.w kuda dikecualikan daripada zakat. Pada masa itu kuda digunakan untuk peperangan dan pengangkutan. Semasa pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab sebaliknya kuda diwajibkan zakat kerana ia telah diternak secara komersial (Abu Ubayd, 1997). Khalifah Umar al-Khattab turut mewajibkan zakat ke atas kacang, buah zaitun, madu dan hasil laut yang tidak diwajibkan zakat sebelum itu (Mujaini Tarimin, 1999).

Tuesday, October 27, 2009

SUKUK DAN PERAKAUNAN ZAKAT

Perakaunan zakat di Malaysia diperkemaskan dari semasa ke semasa. Sebuah buku berjudul Panduan Zakat di Malaysia telah diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tahun 2001.

Buku ini diterbit semula oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dalam bentuk manual dengan judul Manual Pengurusan Pengiraan Zakat pada tahun 2008.

Antara lain tujuan buku Panduan Zakat di Malaysia dan Manual Pengurusan Pengiraan Zakat ialah untuk membantu Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dalam perakaunan zakat khususnya perakaunan zakat harta.

Menurut buku dan manual tersebut, harta yang diwajibkan zakat boleh dibahagikan kepada dua kategori. Kategori pertama ialah harta yang disepakati seperti emas dan perak, perniagaan, pertanian, ternakan serta hasil galian dan harta karun. Kategori kedua ialah harta yang tidak disepakati seperti pendapatan, simpanan, caruman berkanun serta saham dan bon.

Zakat terhadap harta yang tidak disepakati ini sering menjadi topik perbahasan dalam kalangan cendekiawan Islam. Walau bagaimana pun, pada umumnya kaedah perakaunan zakat terhadap harta yang tidak disepakati ini telahpun dibentuk.

Selain itu satu lagi jenis harta yang tidak disepakati iaitu sukuk masih belum mendapat perhatian tentang perakaunan zakatnya.

Persoalannya ialah, apakah perakaunan zakat ke atas sukuk seperti juga perakaunan zakat saham dan bon? Apakah kaedah yang sama terpakai kepada pendapatan yang diterima daripada sukuk tersebut? Bagaimanakah pula tentang pelaburan diterima daripada sukuk yang ditebus apabila ia telah matang?

Jika sukuk dibenarkan untuk diniagakan di pasaran sekunder, bagaimanakah pula perakaunan zakatnya ke atas keuntungan yang diperoleh?

Pada ketika ini kadar zakat ke atas pendapatan yang tidak disepakati oleh para fuqaha ialah 2.5 peratus. Apakah kadar 2.5 peratus ini masih perlu dikekalkan atau perlu dinilai semula daripada 2.5 peratus kepada kadar baru sama ada 5 peratus ataupun 10 peratus?
Itulah antara persoalan yang memerlukan kajian dan perbincangan yang lebih detail. Ia mesti disokong dengan hujah dan fakta berasaskan al-Qur'an dan al-Sunnah. Jika tidakpun, pendapat dari kalangan cendekiawan Muslim.

Tuesday, October 06, 2009

KADAR ZAKAT PENDAPATAN

Cadangan Dr. Muhammad Kamal ‘Atiyah (1995) memberi dua implikasi. Implikasi pertama, kadar zakat ke atas apa jua pendapatan yang diperoleh dikenakan zakat pada 5 peratus atau pun 10 peratus. Dengan itu, tiada kadar zakat ke atas pendapatan pada kadar 2.5 peratus yang diamalkan sekarang.

Implikasi kedua, jika kadar zakat hendak dikenakan pada kadar 2.5 peratus, maka zakat perlu diitaksir ke atas pendapatan yang diperoleh bersama harta yang dipunyai. Ini yang berlaku ke atas zakat perniagaan.

Oleh sebab itulah, harta tetap seperti rumah kediaman, jentera dan loji, bangunan dan peralatan kilang tidak dikenakan zakat. Ia berupa harta modal untuk menjana pendapatan, oleh itu dikecualikan daripada zakat. Hanya pendapatan yang diperoleh dikenakan zakat.

Friday, October 02, 2009

KAEDAH PERAKAUNAN ZAKAT

Harta wajib zakat boleh dibahagikan kepada dua kategori. Pertama ialah kategori harta yang disepakati seperti zakat emas dan perak, hasil pertanian, harta perniagaan, binatang ternakan dan hasil dari perut bumi. Kedua ialah kategori harta yang tidak disepakati. Antaranya zakat penggajian, pendapatan subsidi, pendapatan daripada pelaburan seperti saham dan bon.

Untuk menyelesaikan masalah ini, maka terdapat beberapa tulisan telah cuba membentuk satu kaedah perakaunan zakat. Ini bertujuan supaya harta zakat yang tidak disepakati itu dapat diqiyaskan kepada harta zakat yang disepakati.

Antaranya ialah tulisan Muhammad Kamal ‘Atiyah (1995). Beliau menyarankan perakaunan zakat berasaskan kategori harta. Menurut beliau, harta yang diwajibkan zakat boleh dibahagikan kepada dua kategori, iaitu pertama ialah harta tetap dan kedua ialah harta semasa.

Zakat bagi harta tetap dikenakan ke atas pendapatan yang diperoleh daripada harta tersebut. Kadar zakatnya ialah 5 peratus atau pun 10 peratus. Zakat bagi harta semasa pula dikenakan zakat ke atas harta dan pendapatan yang diperoleh daripada harta tersebut. Kadar zakatnya ialah 2.5 peratus.

Tuesday, September 15, 2009

ZAKAT HARTA DAN RAMADAN

Selain daripada zakat fitrah, orang Islam juga diwajibkan membayar zakat harta. Zakat harta diwajibkan ke atas harta yang dimilik apabila memenuhi syarat-syarat tertentu. Antaranya ialah milik sempurna, mampu berkembang, sampai nisab dan cukup haul.

Harta yang diwajibkan zakat pelbagai jenis. Namun di Malaysia secara umumnya harta-harta yang diwajibkan boleh dibahagikan kepada enam kategori. Kategori pertama ialah zakat emas dan perak; kategori kedua ialah hasil pertanian; kategori ketiga ialah hasil perut bumi; kategori keempat ialah pendapatan gaji; kategori kelima ialah zakat binatang ternakan; keempat ialah zakat pertanian; kelima ialah binatang ternakan; kategori keenam ialah perniagaan.

Pertama ialah zakat emas dan perak. Emas yang diwajibkan zakat boleh dibahagikan kepada dua jenis. Pertama ialah emas yang tidak dipakai, iaitu emas yang tidak digunakan atau dipakai walaupun sekali dalam tempoh setahun. Kedua ialah emas yang dipakai, iaitu emas yang dipakai sebagai perhiasan sama ada sekali sekala atau berterusan dalam tempoh setahun tidak wajib dikeluarkan zakat. Walau bagaimanapun, jika ia melebihi ‘uruf, maka zakat wajibkan dikeluarkan ke atas lebihan dari nilai ‘uruf.

Nilai semasa yang diambil adalah nilai semasa emas sahaja tanpa mengambil kira nilai batu permata atau seumpamanya. Nisab zakat emas sama ada yang tidak dipakai atau dipakai ialah 85 gram. Nisab zakat perak pula ialah 200 dirham yang bersamaan 595 gram. Zakat untuk emas dan perak ialah pada kadar 2.5 peratus.

Kedua ialah hasil pertanian. Hasil pertanian meliputi hasil tanaman asas seperti padi, biji-bijian yang sama dengan padi. Hasil pertanian yang bukan tanaman asas seperti kelapa, kelapa sawit, getah, lada hitam buah-buhan lain tidak dikenakan zakat. Sekiranya hasil tanaman tersebut diperniagakan, ia dikenakan zakat perniagaan.

Kadar zakat pertanian adalah berbeza-beza mengikut punca air yang digunakan. Bagi tanaman yang disiram dengan dengan air tanpa menggunakan tenaga seperti dengan air hujan, maka kadar zakatnya ialah 10 peratus. Bagi tanaman yang disiram dengan air yang diangkut atau dibeli, maka kadar zakatnya ialah 5 peratus. Manakala bagi tanaman yang disiram dengan menggunakan 50 peratus disiram dengan air hujan dan 50 peratus dengan air yang diangkut, maka kadar zakatnya ialah 7.5 peratus.

Nisab zakat hasil pertanian ditentukan dengan mencampurkan semua hasil pertanian yang diperoleh dari semua kawasan dalam sesebuah negeri. Setelah itu, menolak semua perbelanjaan dan hutang seperti berikut:

a. Semua perbelanjaan dan hutang untuk keperluan keperluan harian diri dan keluarga.
b. Semua perbelanjaan dan hutang untuk pengeluaran pertanian.

Anggaran boleh dilakukan oleh mereka yang pakar bagi hasil pertanian yang belum dituai, iaitu sebelum matang. Sebanyak satu pertiga (33.3 peratus) atau satu perempat (25 peratus) daripada anggaran tersebut perlu diperuntukkan bagi keperluan asasi atau kebajikan petani, keluarga dan masyarakat.

Ketiga ialah hasil perut bumi. Hasil perut daripada bumi meliputi semua benda yang dikeluarkan dari perut bumi sama ada dalam bentuk pepejal atau cecair dan harta tertimbul akibat perbuatan manusia. Ia juga termasuk harta yang diperoleh di lautan. Nisab zakat hasil perut bumi ialah 85 gram atau senilai dengannya mengikut harga semasa nisab emas. Kadar zakat yang wajib dikeluarkan ialah 2.5 peratus, 5 peratus atau 20 peratus tertakluk kepada mahal atau murah kos pengeluaran yang ditanggung.

Keempat ialah pendapatan. Pendapatan bermaksud perolehan yang diterima merangkumi pendapatan gaji dan pendapatan bebas. Pendapatan gaji ialah pendapatan penggajian yang merupakan ganjaran perkhidmatan seseorang dengan majikan yang meliputi gaji tahunan, tunggakan gaji, pelbagai elaun dan lain-lain pendapatan yang berkaitan dengan penggajian.

Pendapatan bebas ialah pendapatan seseorang melalui sesuatu kerja atau usaha kepakaran yang merupakan ganjaran daripada perkhidmatannya. Ia meliputi khidmat guaman, khidmat nasihat, perundingan, rawatan perubatan, kejuruteraan, seniman dan lain-lain.

Perbelanjaan yang dibenarkan ditolak daripada pendapatan gaji meliputi keperluan asasi, iaitu keperluan asas keluarga, perlindungan dan pendidikan. Perbelanjaan tersebut meliputi diri sendiri, isteri, anak-anak, ibu bapa dan tanggungjawab lain seperti adik beradik, jiran dan musafir. Selain itu ialah caruman wajib seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Nisab zakat pendapatan 85 gram atau senilai dengannya mengikut harga semasa nisab emas. Kadar zakat yang wajib dikeluarkan ialah 2.5 peratus ke atas baki bersih pendapatan.

Kelima ialah binatang ternakan. Binatang ternakan bermaksud binatang-binatang yang diternak daripada jenis lembu, kerbau, kambing, biri-biri, kibas dan unta. Binatang yang diternak tidak digunakan untuk membantu kerja seperti lembu yang dipelihara untuk mengangkut barang-barang atau membajak sawah. Nisab zakat kambing ialah 40 ekor, nisab zakat lembu ialah 30 ekor manakala nisab zakat unta ialah 5 ekor. Dalam menentukan bilangan nisab, sekiranya ternakan itu berkongsi hak milik, maka ia tidak boleh dipisahkan. Begitu juga sekiranya pemilikannya terpisah, maka ia tidak perlu dicampurkan.

Kadar zakat binatang ternakan adalah mengikut jenis ternakan sebagaimana yang telah ditetapkan Rasulullah s.a.w. Misalnya zakat bagi 30 hingga 39 ekor lembu ialah seekor lembu jantan yang berumur satu tahun lebih. Manakala zakat bagi 40 hingga 120 ekor kambing ialah seekor kambing betina atau jantan yang berumur satu tahun.

Keenam ialah perniagaan. Zakat perniagaan diwajib pelbagai bentuk perniagaan sama ada berasaskan pembuatan, perlombongan, perikanan, perkapalan, pertanian, perkhidmatan ataupun perdagangan. Dua kaedah perakaunan zakat korporat yang digunakan. Pertama, kaedah modal berkembang, iaitu mengambil kira ekuiti pemilik entiti perniagaan dan sumber-sumber pembiayaan.

Dalam istilah mudah ialah modal dicampur dengan keuntungan. Kedua, kaedah modal kerja, iaitu mengambil kira kedudukan aset semasa perniagaan dan ditolak dengan tanggungan semasa perniagaan. Perbezaan kedua-dua kaedah ini adalah dari segi pendekatan sahaja kerana ia berasaskan kepada kunci kira-kira yang seimbang. Antara syarat penting bagi zakat perniagaan ialah pertama, hak milik sempurna; kedua barangan yang halal; ketiga, hutang yang diyakini boleh dipungut.

Zakat ke atas harta dan pendapatan di atas juga perlu ditunaikan. Kalau sudah memenuhi syarat-syarat harta wajib zakat, maka pengeluaran zakat di bulan Ramadan yang mulia ini amatlah dialu-alukan. Ia dengan itu dapat dimanfaat oleh golongan fakir dan miskin untuk menyambut Hari Raya Idil Fitri ini.

Monday, September 14, 2009

BAGAIMANAKAH DENGAN ZAKAT HARTA?

Ramadan akan meninggalkan kita. Justeru, akan pergilah juga puasa wajib di siang hari, bersolat sunat tarawih di sebelah malamnya, peluang untuk mendapatkan malam al-qadr yang lebih baik daripada seribu bulan dan kewajipan mengeluarkan zakat fitrah.

Bagi kaedah mengeluarkan zakat fitrah, terdapat beberapa hadis. Antaranya ialah Hadis daripada Ibn Umar yang bermaksud: ”Rasulullah s.a.w telah mewajibkan zakat fitrah pada setiap bulan Ramadan kepada umat Islam, iaitu sebanyak satu gantang kurma atau satu gantang gandum. Kewajipan itu dikenakan kepada keseluruhan orang-orang Islam, merdeka mahupun hamba, lelaki mahupun wanita” (al-Bukhari, No. 1407).

Hadis lain ialah daripada Abu Said Al-Khudri yang bermaksud: “Kami biasanya mengeluarkan zakat fitrah sebanyak satu gantang makanan, satu gantang gandum, satu gantang kurma, satu gantang keju atau satu gantang kismis (anggur kering)” (Muslim, No. 1640).

Kedua-dua hadis di atas mempamerkan bahawa zakat perlu dibayar dengan bahan makanan. Zakat fitrah perlu dibayar dengan bahan makanan utama di kalangan masyarakat tempatan. Satu gantang adalah bersamaan dengan 2.751 kilogram. Para fuqaha bersepakat dalam hal ini dan mengatakan tidak harus menggantikan zakat fitrah dengan mata wang.

Namun begitu, kalangan fuqaha Hanafi terutamanya Abu Yusuf berpendapat sebaliknya. Menurut mereka, zakat fitrah boleh dibayar sama ada dengan bahan makanan utama ataupun dengan mata wang. Pendapat mereka ini juga tidak menampakkan pertentangan malah selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, “Kayakan mereka (fakir miskin) pada hari itu (Hari Raya)” (ad-Daruqutni, No. 2157).

Dengan itu, untuk mengayakan mereka pada hari raya, maka zakat wajar dibayar dengan mata wang. Malah dalam situasi sekarang, bayaran dengan mata wang mungkin lebih menepati maksud dan semangat Hadis di atas.

Kefarduan zakat fitrah ini mendapat perhatian yang cukup serius di kalangan umat Islam khususnya di Malaysia. Malah sukar untuk mencari mereka yang gagal membayarnya.

Tetapi keseriusan begini kurang terserlah dalam zakat harta. Harta wajib zakat boleh dibahagikan kepada lima kategori. Pertama, emas dan perak; kedua, hasil pertanian; ketiga, binatang ternakan; keempat, harta perniagaan; dan kelima, hasil dari perut bumi. Selain daripada harta-harta tersebut, terdapat harta-harta yang baru wujud atau baru ditemui juga diwajibkan zakat. Antara lain ialah pendapatan daripada sumber laut, pendapatan penggajian dan pendapatan pelaburan.

Tuesday, September 08, 2009

WAKTU MEMBAYAR ZAKAT FITRAH

Imam Al-Bukhari melaporkan yang bermaksud, “(Para sahabat) biasa membayar zakat fitrah sehari atau dua hari sebelum Aidil Fitri” (al-Bukhari, No. Hadis : 1511).

Dalam Hadis yang lain dilaporkan Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, “Kayakan mereka (fakir miskin) pada hari itu (Hari Raya)” (ad-Daruqutni, No. Hadis : 2157).

Persoalannya bilakah waktu yang sesuai untuk menunaikan zakat fitrah?

Dua rumusan dapat dibuat daripada dua Hadis di atas. Pertama, zakat fitrah ditunaikan dalam tempoh sehari atau dua hari sebelum Aidil Fitri. Ia tidak ditunaikan lebih awal dari kedua-dua tarikh itu.

Kedua, zakat fitrah boleh ditunaikan pada bila-bila masa sebelum solat sunat Aidil Fitri. Ia boleh ditunaikan pada seawal satu Ramadan.

Pemilihan tarikh-tarikh itu terserahlah kepada pembayar zakat fitrah itu sendiri. Yang penting ialah dipastikan mereka dapat kayakan golongan fakir dan miskin pada hari Aidil Fitri.

Oleh sebab itulah, pada masa kini, bayaran zakat fitrah dicadangkan dibayar mengikut keperluan penerima zakat, iaitu fakir dan miskin itu sendiri sama ada di awal, pertengahan atau di akhir Ramadan. Ini kerana supaya mereka dapat menyambut ketibaan Hari Raya Aidil Fitri dalam keadaan yang tidak terhimpit dengan kemiskinan.